Thursday, September 24, 2009

Pertama kali membakar lemang

Macam tak lengkap jer kalau takada lemang dalam menu hari raya. Selama ni aku beli dari penjual-penjual yang memang banyak terdapat di tepi jalan raya, atau order dari specialist kat kampung aku. Tapi kali ni aku nak buat kelainan sikit, seminggu sebelum raya aku dan mem bincang nak bakar lemang sendiri. Kebetulan kami kenal baik dengan seorang Mat Medan, ia memang hebat membuat lemang ni. Mengikut ceritanya di tempatnya sana bila nak raya, tiap-tiap rumah mesti bakar lemang ada yang sebatang buluh lemang di isi dengan satu kg. beras pulut. Di sana makan lemang dengan tapai pulut hitam bukan dengan rendang macam di sini. Lagi satu mereka makan pulut macam berantu, sikit tak main. Aku pun bergurulah pada Mat Medan tu. Ia murah hati dan mengajar aku dari A sampai Z.
Mula-mula aku kena kumpulkan kayu nak bakar lemang, dekat nak raya kali ni musim hujan pula habislah kayu basah. Nasib baik aku ada kayu rambutan tua yang tumbang kemudian aku kerat-kerat dan susun, ia dah kering campur kayu-kayu lain. Aku kena cari buluh lemang pula, puas aku pikir nak dapatkannya pasal kat tempat aku sudah takada buluh lemang. Buluh tu agak nipis dan ruasnya panjang-panjang. Aku teringat seorang kawan Orang Asli, dia jual buluh lemang terutama musim raya. Aku cuba kontek dia, katanya datanglah tempat dia berapa ratus nak? Tanpa buang masa aku terus ke tempat dia jual dan belilah 30 batang. Dia pilihkan yang elok-elok.
Benda-benda lain yang kena sediakan ialah beras pulut 10 kg, kelapa 20 biji, bawang merah 10 ulas, bawang putih 2 ulas, halia 4 inci, limau nipis 2 biji, beberapa biji buah keras dan garam secukup rasa selain dari daun pisang muda untuk lapik beras pulut dalam buluh sebelum di bakar. Daun pisang muda itu digulung (melintang) dimasukkan ke dalam buluh dengan kemas.

Langkah-langkah ini hendaklah dibuat dengan cermat kalau tidak tak menjadi. Itulah pesan guru Mat Padang itu. Kukur kelapa kemudian perah ambil pati santannya. Beras pulut dibasuh hingga bersih dan tuskan airnya. Bahan-bahan rempah bawang merah, bawang putih, buah keras dan halia dikisar dengan blender, kemudian tapis. Perahkan limau nipis (ini boleh menjadikan lemang tahan lebih lama dan tidak basi) dan bubuhlah garam secukup rasa. Campurkan rata-rata dengan pati santan kelapa tadi. Beras pulut sudah tus tadi masukkanlah ke dalam buluh berlapik daun pisang muda hingga kira-kira 7/10 bahagian buluh diikuti dengan santan berempah hingga penuh.

Tempat membakar dan cara pembakaran tidak kurang pentingnya. Perhatikan gambar ini, pada peringkat permulaan api yang masih menyala diletakkan agak jauh sedikit (0.5m) lepas itu, bara api akan ditolak berhampiran dengan lemang


Dalamasa 10 - 15 minit atau kurang bahang panas sudah mula terasa, buluh lemang hendaklah sentiasa dipusing-pusingkan perlahan-lahan. Gunakan kain tebal dan sarung tangan kain pegang buluh yang panas itu.

Kira-kira 30 minit selepas dibakar, reaksi pulut sudah mula kelihatan, buih-buih udara panas boleh dilihat dan semakin galak. Peringkat mendidih telah bermula. Ketika ini kena ambil buluh lemang satu persatu, gunakan hujung pelepah kelapa buang daun dan tajamkan hujungnya. Cucuk-cucukkan beberapa kali, pusing dan hentakkan buluh lemang perlahan-lahan tujuannaya supaya lemang jadi padat. Inilah peringkat yang paling kritikal sebab kesilapan teknik atau sedikit kesilapan sebab lalai boleh menyebabkan buluh rentung tapi lemang tak masak atau ada bahagian yang tidak cukup masak.


Lihatlah hasil kerja aku. Tu panas lagi tau, kalau berani peganglah. Waktu tu puasa lagi, satu jam lagi baru sampai waktu buka. Tak sabar betul nak rasa lemang sulung aku ni. Lauknyapun dah masak. Tau apa lauknya? ..... Rendang lokan... Masa aku bakar lemang tadi mem ku sibuk masak rendang tu. Anak-anak yang dah balik tolong abah dan maknya. Bila tiba je waktu buka
lemang dah siap berbelah. Makanan lain macam-macamlah maklum esoknya raya. Bila makan lemang terasa kelainannya daripada lemang kedai. Memang sedap habis tambah pula lauk yang aku kata tadi, memang ngam punya, best betul. Sebab best rendang lokan aku akan cerita lain kalilah.

No comments:

Post a Comment